Tragedi MH370: Bagaimana Bloggers Menangguk Di Air Yang Keruh

Kalau bloggers yang baca post ini, dia akan marah.

Marah kerana apa yang kami ingin katakan ini betul, dan sedang berlaku.

Tapi saya rasa anda akan bersetuju dengan apa yang saya katakan ini.

Betapa sesetengah orang menggunakan isu MH370 untuk kepentingan mereka.

Jika anda perasan, di Kokotiam kami menulis mengenai pesawat ini selepas pengumuman Perdana Menteri semalam. Kami lakukan ini kerana kami tidak mahu melakukan sebagai andaian dan membuang masa dengan segala jenis spekulasi di luar sana.

Bagaimana Bloggers Memanipulasi Tragedi MH370?

Penafian: bukan semua bloggers sebegitu. Ada yang berhemah dalam berteori tetapi ada yang saya rasakan sangat-sangat tidak bertanggungjawab.

Apa yang anda perasan kebanyakan blogger picisan lakukan? Mereka mengadakan teori mereka sendiri. Teori mereka berdasarkan satu fakta umum dan mereka menggunakan ketidakpastian orang ramai dalam sesuatu hal.

Sebagai contoh misteri di dalam tragedi MH370. Pelbagai teori konspirasi telah dibuat mengenainya. Ada yang mengaitkan dengan Diego Garcia, ada yang mengaitkan dengan CIA, FBI dan rancangan jahat dunia untuk menjatuhkan Malaysia atau menggunakan negara kita untuk kepentingan politik mereka.

Pokoknya, mereka telah melakukan pelbagai spekulasi… tanpa menghiraukan perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

Realitinya…

Kita Dahagakan Maklumat…

Kita akan mencari “the next new thing“. Sama juga dengan teori-teori ini. Orang ramai akan menghurungi teori ini dan kemudian membuat andaian mereka di dalam fikiran mereka. Akibatnya, keluarga mereka yang terlibat akan terbaca dan mungkin semakin menganggu emosi mereka yang memang sedang bercelaru.

Lebih misteri, lebih menarik untuk dikongsi.

Teori-teori ini dibuat kerana terlalu banyak misteri menyelubungi MH370. Ini kerana kita tidak menguasai ilmu yang sepatutnya kita kuasai dan juga menunjukkan terbatasnya kita sekarang ini.

Semestinya blogger yang membuat pelbagai andaian ini blognya akan menjadi sangat popular dan akan meningkatkan trafik ke blog tersebut. Itu ialah satu perkara yang okay… JIKA ia bersandarkan dengan fakta.

Malangnya sekarang fakta tidak ada dan yang ada hanyalah petunjuk-petunjuk berdasarkan imej satelit. Kotak hitam juga mungkin hanya ditemui berbulan-bulan daripada sekarang. (Anda boleh rujuk laman facebook Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein untuk perinciannya.)

Itu faktanya.

Dunia sebenar tidak seindah fiksyen.

Data-data yang hanya nombor serta formula yang sangat abstrak, hanya yang pandai sahaja faham.

Kita perlu belajar menerima bahawa kes ini tidak semudah skrip wayang. Dalam wayang, skrip boleh dibuat pelbagai cara. Ada yang skripnya bombastik dan melampau seperti mempunyai pelbagai jenis kuasa yang tidak dapat kita buat dalam dunia sekarang. Boleh keluar api dari tangan… Kawal cuaca… Boleh lari selaju bunyi… dan sebagainya. itu semua possible di dalam skrip. Kalau dalam cerita Transformers, agensi rahsia juga wujud untuk mengkaji perkara-perkara yang manusia klasifikasi sebagai “lain daripada lain” seperti objek daripada angkasa lepas. Di dalam dunia betul, semua mengenai sains angkasa ini dibawah NASA dan agensi sains berkaitan yang boleh dicari melalui Google dengan mudah.

Apabila Kita Celik, Kita Sedar

Sedar bahawa kebanyakan bloggers dan media mempunyai agenda mereka tersendiri. Apabila kita baca, kita lihat apakah fakta yang berada di depan mata. Cuba tepis semua anggapan. Lihat pada fakta sahaja. Fikirkan.

Betapa sukarnya untuk mencari sesuatu yang hilang begitu sahaja? (Kita kunci pun kadang-kadang lupa letak di mana). Pelbagai negara juga terlibat. 26 negara sebenarnya terlibat. Cabaran dalam bentuk teknikal, diplomatik, logistik sangat besar. Press conference hari ini memuji pihak pembangkang kerana menyokong usul yang dibawa oleh Perdana Menteri Malaysia.

Kita boleh bersatu dalam musibah.

Kita juga boleh buat bahagian kita. Kita sekarang ini berada di dalam “perang persepsi”. Banyak media luar sedang menjatuhkan Malaysia. Kita cuba sokong apa yang terdaya dengan menyebarkan maklumat yang betul dan sahih daripada pihak berwajib. Kenapa? Kerana pada masa ini walau apa pun ideologi politik, kita kena bersatu. Bersatu untuk negara tercinta ini. Ini bukanlah masanya untuk meruntuhkan rumah tetapi masa untuk kita pertahankan rumah kita, yang kita kenali sebagai Malaysia.

Godspeed Malaysia.

Pray-For-MH370

Diterbitkan oleh

Abdul Rahman

Seorang penulis, pembaca, programmer dan macam-macam lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *