Perang Berpantang Selepas Bersalin.

Perang berpantang selepas bersalin; Siapa betul, siapa salah?

Perang paling popular di kalangan kaum wanita di sosial media adalah pantang selepas bersalin. Doktor mengemukakan pendapatnya melalui kaca mata medik manakala kaum ibu melalui kepercayaan mereka turun temurun.

Jadi siapa salah siapa betul?

Sebelum itu saya ingin menegaskan artikel ini ditulis berdasarkan bacaan,pengalaman dan ini adalah pendapat saya sendiri. Saya menulis atas ingin berkongsi.

Saya sendiri menerima perbezaan pendapat semasa berpantang. Ibu saya (orang utara) melarang saya memakan ikan merah, dan memberi saya makan ikan kembong (sewaktu awal pantang). Manakala ibu mertua saya (orang selatan) mengesyorkan saya untuk makan ikan merah dan mengelak dari mengambil ikan kembong.

Jadi apa saya lakukan?

Disebabkan saya berpantang di utara maka cara berpantang utara saya amalkan. Demi menjaga hati dan menyenangkan ibu yang menjaga saya sewaktu dalam pantang. Kalau saya berpantang di selatan, saya turut akan melakukan begitu.

Pantang selepas bersalin wujud adalah untuk membantu proses penyembuhan selepas bersalin. Namun terdapat beberapa amalan pantang yang kurang relevan untuk masa sekarang.

  • Ikan Haruan

Makanan pantang paling popular sekali adalah ikan haruan. Ikan haruan tidak dinafikan secara saintifiknya terbukti membantu dalam pemulihan luka dan mempunyai lebih banyak protein berbanding ikan lain. Tetapi sejak pembaharuan dalam dunia medik,peralihan dari menggunakan benang jahitan catgut ke benang jahitan polyglactin ibu tidak perlu risau lagi dipaksa makan ikan haruan.

Benang polyglactin yang diguna pakai sekarang lebih cepat menyerap ke dalam badan,antibacteria, tidak menimbulkan kurang selesa/rengsa berbanding benang catgut. Malahan membantu cepat dalam pemulihan luka. Jadi memakan ikan haruan bukan lagi keperluan wajib, lebih kepada optional. Kalau lalu,silakan.

Saya memang tak sanggup telan ikan haruan. Terbayang-bayang haiwan lain yang hampir sama fizikalnya.

  • Lebihkan baring,rehat. Kurangkan bergerak/berjalan.

Dahulu, ibu disarankan lebih banyak berehat,dikhuatiri pengsan kerana banyak kehilangan darah. Pendarahan pada rahim yang lambat mengecut faktor utama ibu kurang darah.

Namun, sekarang suntikan diberikan untuk membantu proses pengecutan rahim. Malahan ibu digalakkan untuk bergerak untuk mengelakkan dari terjadi darah beku. Ini kerana selepas melahirkan, darah pekat dari biasa.

  • Stokin

Ibu dalam pantang perlu memakai stokin, dikhuatiri masuk angin. Ini merupakan kenyataan mitos. Angin tidak boleh menyerap masuk melalui kulit.

Angin sebenarnya datang daripada sistem penghadaman yang kurang cekap. Ditambah pula dengan perubahan yang dialami badan sebelum dan selepas bersalin memerlukan beberapa ketika untuk badan kembali normal.

Sekiranya selesa memakai stokin, ibu-ibu disarankan menggunakan TED (Anti-embolism) stokin. Stokin biasa hanya membantu memanaskan tetapi TED stokin membantu dalam pengaliran darah seterusnya mengelakkan darah beku dari terbentuk. Namun, hati-hati memakainya, agak licin stokin ini.

Sebenarnya banyak lagi pantang zaman dulu kalau tidak diamalkan zaman sekarang tidaklah memudaratkan selagi ibu mengambil makanan sihat, minum air secukupnya dan aktif bergerak serta menjaga emosi.

Jadi persoalan saya di atas tadi, tiada siapa pun yang salah dalam hal ini. Orang zaman dulu hebat, walaupun kekurangkan teknologi mereka sangat teliti dan halus dalam pemerhatian. Nasihatnya ada sebab dan akibatnya.

Namun, perubahan teknologi ditambah pula dengan penjelasan sains zaman sekarang memerlukan pertimbangan ibu dalam hal-hal begini. Berpantanglah mengikut kemampuan diri dan badan sendiri kerana setiap dari kita adalah berbeza.

Berpantang juga bukan hanya selepas melahirkan, tetapi proses berpantang perlu sepanjang hayat.

Bagaimana pula pengalaman pembaca semasa berpantang?

Nota kaki: Mungkin kita perlu mengikuti adat berpantang sepanjang hayat masyarakat Jepun- masyarakat yang paling tinggi jangka hayatnya.


Diterbitkan oleh

Aisyah

Dari kaca mata seorang anak, isteri, ibu, dan guru.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *