Orang Islam Malas Nak Mencipta?

Jika kita lihat 100 syarikat paling berinovasi di dunia, berapa banyak syarikat di dalam senarai tersebut syarikat yang diasaskan oleh Muslim? Cuba lihat senarai yang dibuat oleh Forbes ini.

Cuba sahaja cari berapa banyak syarikat yang kita boleh banggakan sebagai syarikat yang diasaskan oleh orang Islam.

Besarkan gambar ini dan lihat senarai ini. Lihat, berapa banyak syarikat kita boleh banggakan sebagai syarikat orang Islam?
Besarkan gambar ini dan lihat senarai ini. Lihat, berapa banyak syarikat kita boleh banggakan sebagai syarikat orang Islam?

Satu pun tidak.

Realitinya, orang Islam tidak membuat inovasi. Dan kita semua ketinggalan.

Tidak ramai yang ingin mengakui fakta ini:

Orang Islam Sekarang Ini Malas

Malas dalam membuat kerja. Suka ponteng. Suka melakukan kerja sambil lewa. Tidak profesional dalam melakukan kerja. Bagaimana inovasi ingin terjadi kalau sikap malas kita dibawa-bawa dalam pekerjaan dan mutu hanya cukup makan sahaja?

Profesionalisme di dalam kerja itu ialah satu kepentingan. Satu kewajipan. Terutama sekali untuk orang yang menggelarkan diri mereka sebagai orang Islam.

Inovasi hanya akan wujud apabila kita duduk dan berfikir mengenai masalah dan mengambil masa untuk menyelesaikan masalah itu. Pada ketika itu, inovasi akan tercetus di dalam fikiran kita. Ini akan membawa kita sedikit demi sedikit ke hadapan.

Kita tidak boleh selesa. Kita harus lapar. Lapar mengejar impian. Islam pernah berjaya dahulu kerana umatnya lapar dan mencari segala peluang untuk cuba berjaya. Peluang-peluang ini digunakan sebagai salah satu bahan bukti untuk dibawa ke akhirat nanti.

Apabila kita diukur kejahatan dan kebaikan kita, ditanya apa yang kita buat, kita boleh menjawab bahawa inovasi kita ini telah memajukan orang Islam dan semua orang secara umum.

Hanya kepada Allah kita akan kembali. Dia tahu apa yang kita lakukan. Setiap tindakan kita. Bila kita cipta sesuatu, itulah pencapaian kita.

Pencapaian ini akan tercatat di dalam buku hidup kita sebagai salah satu makna dalam hidup kita.

Ingat Tak Anda Mengenai Kisah Betapa Hebatnya Islam Dahulu Kala?

Cuba anda fikir kenapa mereka hebat.

Bukankah mereka hebat kerana mereka cuba memahami dunia ini. Setiap elemen yang wujud di dalam dunia ini. Setiap molekul. Setiap zarah. Setiap apa yang ada di dalam alam ini. Mereka tidak mempunyai apa-apa pun. Dahulu, orang Islam datang daripada padang pasir yang tidak mementingkan sains dan teknologi.

Bagi mereka itu tidak penting.

Tapi di dalam Al-Quran dan ajaran Nabi, orang Islam dahulu kala ini diseru untuk membaca, memahami, mengenali dan menganalisa kejadian.

Tanpa memiliki apa-apa ilmu pada awalnya, mereka cuba mencari ilmu. Mereka hanya mempunyai sifat lapar akan ilmu. Mereka curious. Hasilnya mereka absorb segala jenis ilmu yang ada pada ketika itu. Ilmu matematik, ilmu sains, ilmu geografi, ilmu seni, ilmu falsafah, dan semua yang mampu mereka cari. Ilmu Greek, India, Roman, dan semuanya itu dibaca dan difahami.

Hasil menelan ilmu-ilmu ini, mereka berjaya membuka cabang ilmu baru dan memahami dunia ini dengan lebih baik.

Tapi itu kisah dahulu kala.

Kisah lampau.

Terima kasih kepada kemajuan yang dilakukan oleh orang Islam dan Arab pada masa dahulu, Eropah berjaya keluar daripada Dark Age. Ya… Golden Age Eropah ataupun Rennaiscence mampu berlaku kerana hasil daripada titik peluh kajian orang yang hidup di dalam budaya Islam pada ketika itu (ada juga orang bukan Islam yang baik dengan orang Islam dan mereka dipanggil dhimmi dan mereka juga telah menyumbangkan ilmu baru semasa di dalam kemajuan tamadun Islam).

Adakah Kita Sekarang Di Dalam Dark Age Seperti Eropah?

Sekarang ini kita dapat lihat ramai orang Islam seperti dalam kecelaruan. Kita sama seperti orang Eropah pada zaman Kegelapan yang mempunyai pelbagai kepercayaan karut.

Di dalam ceramah-ceramah pula, kita sering menyalahkan orang lain.

Terutamanya orang Kristian dan orang Yahudi.

Kita dapat mendengar ceramah-ceramah sering menyatakan agenda-agenda Iluminati, Freemason dan pelbagai Secret Societies lain yang ingin menjatuhkan Islam.

Saya rasa yang betul-betul menjatuhkan orang Islam bukannya orang Kristian, Yahudi atau secret societies, tetapi sebenarnya yang menjatuhkan orang Islam ialah orang Islam sendiri.

Kita terlupa untuk memajukan diri kita.

Kita sibuk menyalahkan orang lain.

Kita malas.

Malas untuk buat perkara yang memanfaatkan orang Islam dan semua orang secara umum.

Kita tidak belajar daripada Barat.

Kita tidak belajar daripada masa lampau kita.

Kita hanya ingat.

Tetapi tidak menggunakan ingatan kita untuk ke hadapan.

Kita perlu mencipta. Kita pernah mencipta sesuatu. Sekarang ini kebanyakan benda yang kita pakai hari ini… berapa banyak daripadanya kita boleh banggakan sebagai produk ciptaan orang Islam? Nukilan yang saya tulis ini juga bukan menggunakan keyboard daripada negara-negara Islam tetapi dibuat oleh orang bukan Islam.

Kita perlukan inovasi.

Kita perlukan pencipta.

Adakah anda pencipta beragama Islam yang akan membantu Islam ke hadapan?

Belajar dengan rajin untuk menjadi penyelesai masalah. Buat kerja dengan profesional. Produktif. Cuba berdaya saing. Kenali teknik-teknik bekerja yang dapat membantu anda.

Orang Islam Kena Mencipta

Sumber Rujukan:

Forbes http://www.forbes.com/innovative-companies/list/

Diterbitkan oleh

Abdul Rahman

Seorang penulis, pembaca, programmer dan macam-macam lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *