Adakah Islam Halang Perkembangan Sains?

Dia lah yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan – (mu) – dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan? Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia). – Qur’an 67:3-4 (Surah Al-Mulk)

Ayat ini dipetik oleh seorang penerima Nobel beragama Islam.

Sekarang, cuba cari berapa ramai orang Islam yang mendapat nama sebagai pemenang Nobel di dalam bidang sains dan teknologi.

Dah cari?

Apa jawapan anda?

Sepuluh? Dua puluh?

Ataupun dua sahaja?

Terdapat 1.6 bilion orang Islam di muka bumi ini, tapi kita hanya mempunyai dua orang sahaja pemenang Nobel dan bidang sains.

Pertama ialah Abdus Salam dalam bidang fizik pada tahun 1979. Beliau telah mendapatnya bersama dua orang lagi iaitu Sheldon Lee Glashow dan Steven Weinberg “untuk sumbangan mereka kepada teori unified weak dan interaksi elektromagnetik antara partikel asas termasuk inter alia dan mengagak arus neutral lemah.

Pemenang Nobel fizik
Pemenang Nobel fizik

Dan yang kedua ialah Ahmed Zewail di dalam bidang kimia untuk “kajiannya ke atas peralihan keadaan reaksi kimia menggunakan femtosecond spectroscopy”.

Pemenang Nobel kimia
Pemenang Nobel kimia

Tak Boleh Belajar Ilmu Dunia?

Berapa banyak inovasi yang kita boleh cakap, ini orang Islam buat?

Ramai ustaz hanya menitikberatkan ilmu akhirat.

Ustaz-ustaz ini mengatakan bahawa dunia ini hanya sementara dan jangan kejar dunia.

Sangat mendukacitakan keadaan kita sekarang ini. Kita seperti mengharamkan apa yang tidak haram. Dunia dianggap kotor. Bukankah dunia ialah tempat sementara kita untuk kita membuktikan nilai yang kita pegang?

Dan pada hari pengadilan, kita akan dinilai berdasarkan apa yang kita dan apa yang kita pegang.

Cuba anda lihat sekeliling anda.

Berapa banyak alat dan teknologi di sekeliling anda yang boleh anda banggakan sebagai ciptaan orang Islam?

Sedikit sahaja. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Orang Islam pernah menguasai pelbagai cabang ilmu duniawi dan pada masa yang sama, mereka tidak meninggalkan akhirat.

Malangnya sekarang, orang seperti membezakan antara mengejar ilmu dunia dengan ilmu akhirat. Apabila kita mempelajari ilmu dunia, kita akan dapat melihat betapa kompleksnya dunia yang Allah ciptakan dan dapat mensyukuri betapa hebatnya sehingga Pencipta dapat membuat semua ini dan kita tak sedar langsung bagaimana perkara sebegini boleh terjadi.

Lagi ironinya ialah, ilmu-ilmu mengenali kehebatan Allah ini ditemui oleh orang bukan Islam… dan merekalah yang membuat penemuan satu demi satu sehinggakan kita dapat merungkai apa yang ada di dalam Al-Quran.

Bukankah orang Islam yang sepatutnya merungkai sendiri apa yang tertulis di dalam Al-Quran?

Berapa Banyak Negara Islam Yang Membantu Di Dalam Misi Mencari MH370?

Cuba kita tanya pada diri kita, berapa banyak negara yang kita anggap sebagai negara Islam (yang sepatutnya dengan tangan terbuka menolong kita), menolong kita. Dua negara? Indonesia dan Brunei? Bagaimana negara Islam lain?

Ataupun mereka sangat lemah dan sibuk dengan pergaduhan yang mereka sendiri lakukan?

Itu dunia sekarang. Agak malu bila kita fikir dalam-dalam apakah sumbangan negara Islam, kita boleh membilang dengan jari apa yang mereka lakukan. Kebanyakan masa mereka dipenuhi dengan pergaduhan.

Negara Islam Sekarang LEMAH dan Bergantung Harap Kepada Negara Bukan Islam

Perasan tak anda?

Banyak negara seperti bangga dengan output minyak mereka dan memberi subsidi kepada rakyatnya. Tetapi itu hanyalah satu tindakan jangka pendek yang hanya menguntungkan pemerintah kerana duit subsidi yang boleh disalurkan ke dalam kajian-kajian saintifik ataupun kajian-kajian yang meningkatkan kualiti hidup digunakan untuk menyedapkan hati ramai orang (subsidi).

Sebenarnya di dalam ekonomi, subsidi pukal seperti subsidi minyak ialah suatu yang tidak efisien dan menguntungkan orang yang kaya dan kurang kepada yang miskin.

Penyelidikan mendapat dana kecil berbanding pembangunan bangunan-bangunan pencakar langit. Apabila jumlah dana sedikit, ini menyebabkan dunia Islam tidak mempunyai kepakaran dan teknologi yang boleh dikatakan gamechanger. Kebanyakan kepakaran dan teknologi yang kita cipta ini dicipta oleh orang bukan Islam dan tidak ada teknologi yang boleh kita banggakan dan kata bahawa ini ialah teknologi kita.

Cuba Tengok Syarikat-Syarikat Yang Besar

Berapa banyak kita boleh cakap itu syarikat orang Islam?

1. Facebook
2. WhatsApp
3. Microsoft
4. Yahoo
5. Dell

dan syarikat-syarikat Fortune 500. Berapa banyak di dalamnya syarikat yang kita boleh banggakan?

fortune-500

Kita sentiasa melihat ulama dan ustaz bangga dengan masa lampau. Saya rasa ini masanya kita tampar diri sendiri dan berkata: Masa kegemilangan kita hanya jadi tinggalan sejarah. Yang penting ialah apa yang kita buat SEKARANG.

Islam akan ke hadapan bila orang Islam berani berjuang dalam mengejar ilmu dunia dan akhirat serentak. Dengan kata lain tidak membezakan antara kedua-duanya.

Orang Islam Sepatutnya Lebih Banyak Berfikir!

Di dalam Al-Qur’an, Allah telah mengajak kita untuk berfikir dan menggunakan deria yang kita ada di dalam banyak ayat.

Adakah anda tidak melihat disebut 64 kali.
Melihat disebut 25 kali.
Untuk menggunakan minda mereka disebut 22 kali.
Untuk mengetahui disebut 13 kali.
Untuk betul-betul melihat disebut 13 kali.
Untuk berfikir disebut 11 kali.
Untuk yang ada akal disebut 9 kali.
Untuk bertanya disebut 8 kali.
Mereka yang ada kepandaian disebut 2 kali.
Mereka yang mempunyai penglihatan disebut 2 kali.

169 ayat berkaitan dengan berfikir disebut di dalam Al-Quran. Walaupun banyak ayat berkaitan berfikir ada di dalam Al-Quran, kita seperti ke belakang dan tidak ke hadapan.

Keadaan kita perlu berubah. Kita perlu jadi lebih baik. Dan kita perlu menjadi lebih baik daripada dahulu.

Ilmu yang dilabelkan ilmu dunia juga perlu dikejar supaya kita dapat mengenali Pencipta dengan lebih mendalam. Apabila kita faham kompleksiti alam ini, kita akan lebih menghargai dan kita akan lebih mengetahui kesukaran di dalam mencipta sesuatu.

Jika kita tidak faham Allah, sekurang-kurangnya kita cuba faham ciptaannya di dalam alam semesta ini. Apabila kita mendalami ilmu-ilmu dunia dan akhirat bersama, kita akan lebih menghargai dan lebih mendalami apa yang ada di dalam kita (seperti otak kita) dan bagaimana ia berfungsi dan bagaimana kita boleh hidup di muka bumi ini.

Beliau menyambung:

Ini, dengan semua kepercayaan ahli fizik; lebih dalam kita cari, lebih banyak kita akan teruja, dan lebih “mabuk” kita untuk melihat segalanya.

Saya katakan ini, bukan untuk mengingatkan yang berada di sini, tetapi juga di dunia ketiga, yang merasakan mereka merasa tertutup peluang di dalam mengejar ilmu saintifik kerana kekurangan peluang dan sumber.

Alfred Nobel mengatakan bahawa tiada perbezaan kaum dan warna akan menentukan siapa akan mendapat sifat pemurahnya. Di dalam kesempatan ini, biar saya katakan kepada mereka yang limpah kurnia Tuhan. Marilah kita cuba sedaya upaya untuk memberi peluang sama rata kepada semua supaya mereka boleh terlibat di dalam penciptaan fizik dan sains untuk manfaat manusia sejagat. Inilah semangat Alfred Nobel dan idealnya yang meresep di setiap tahap hidupnya.

Teknologi kita semua hasil daripada inovasi.

Orang Islam perlu berhenti menjadi konsumer sahaja. Kita perlu menjadi produser. Pencipta. Mencipta alat-alat yang dapat memanfaatkan hidup. Takkanlah kita nak berada pada takuk yang lama sahaja.

Kita tanya balik soalan-soalan ini kepada diri kita:

  1. Berapa ramai orang Islam di zaman moden yang membuat teknologi yang mengubah hidup kita menjadi lebih baik?
  2. Islam mengajar kita untuk membaca… berapa banyak yang kita baca?
  3. Islam mengajar kita untuk menggunakan kesemua deria kita untuk mensyukuri apa yang tercipta… berapa banyak kita merungkai alam ini dengan deria kita?
  4. Islam mengajar kita untuk memahami… Adakah kita cuba memahami?

Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya. – Qur’an 2:269 (Surah Al-Baqarah)

Sesungguhnya sejahat-jahat makhluk yang melata, pada sisi (hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya). – Qur’an 8:200 (Surah Al-‘Anfāl)

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal – Qur’an 3:190 (Surah Āli `Imrān)

Kita sepatutnya merenung, memikirkan dan memilih tindakan terbaik apabila kita melakukan sesuatu. Pemikiran kritikal bukannnya semasa kita berfikir tentang bintang dan bulan sahaja tetapi di dalam semua bidang sains dan kesenian. Penemuan yang kita jumpai hari ini di dalam pelbagai bidang tersebut akan membawa kita untuk menghargai Pencipta Asal segalanya, yang sentiasa terlibat di dalam hidup kita melalui penciptaan yang Dia lakukan dalam masa lampau yang tidak kita ketahui. Dia ialah mentor kita dan mengkaji alam ciptaanNya ialah perkara terbaik yang boleh kita lakukan untuk memahami seni dan sains yang dilakukanNya dalam dunia ini.

Semoga ini adalah permulaan untuk kita terus maju ke hadapan. Di harap orang Islam tidak hanya menggunakan, tetapi juga, mencipta supaya manusia secara umumnya dapat mendapat manfaat.

Sumber:
http://www.nobelprize.org/nobel_prizes/physics/laureates/1979/salam-speech.html
https://en.wikipedia.org/wiki/List_of_Muslim_Nobel_laureates#Sciences

Diterbitkan oleh

Abdul Rahman

Seorang penulis, pembaca, programmer dan macam-macam lagi.

2 padangan di “Adakah Islam Halang Perkembangan Sains?”

  1. Terima kasih atas tulisan saudara, ia sangat menepati kepada apa yg sedang dlm pemerhatian saya, bermacam perasaan dan persoalan yang ada dalam fikiran, perasaan sedih kecewa marah geram dan timbulnya kenapa, di mana silapnya pemahaman kita sebagai orang Islam hingga kita jadi keterbelakang dalam inovasi yang boleh memberi manfaat kepada seluruh masyarakat sedunia, bukankah besar pahalanya tu, kenapa bukan orang Islam? Adakah orang Islam diajar untuk berzikir 24 jam, ke masjid sepanjang masa demi mengejar akhirat? Bagi saya selagi taat kepada rukun Islam, percaya kepada rukun iman, berbuat baik, jujur dan ikhlas demi kerana Allah swt kita masih boleh buat perkara inovasi… bukan kerajaan tak beri peruntukan untuk R & D, tapi projek R&D mana yang berjaya? Bandar2 kecil, pekan di negara kita ni siapa yang bangunkan hingga jadi bandar, orang bukan Islam kan? Tanpa mereka, negara Islam yg kecil ni masih jadi koboi… jawapannya orang Islam tak kejar dunia tapi yang menggunakan kemajuan itu orang Islam juga… Salah faham dalam mentafsir nikmat (deria) yang Allah beri kepada kita…

    1. Tu lah, tak salah pun nak berzikir atau ke masjid tapi at the same cari juga cara untuk ke hadapan. Inovasi, penemuan saintifik… semuanya boleh dibuat.

      Niatkanlah untuk melakukan inovasi dan kemajuan sains ini atas nama Allah.

      Moga akan ada masa nanti orang akan sedar yang sebenarnya kita boleh buat dua-dua dan ianya bukanlah mutually exclusive.

      Mudahkan hidup semua orang pun bukan Tuhan suka ke? At least orang akan nampak orang Islam ni bukannya suicide bomber tapi sebenarnya memberikan nilai kepada masyarakat secara umumnya.

      Dapat pahala juga kot kalau kita buat sains sebab nak kenal dunia yang Tuhan buat ni! 😀

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *