Secawan Koko Kehidupan

Harga Ketidaksamarataan

1

Kesaksamaan adalah perkataan yang hangat di dalam negara ini. Ramai orang percaya jika kita mempunyai kesaksamaan ini, negara ini akan menjadi lebih berjaya dan menjurus ke arah kejayaan.

Tapi apa yang perlu untuk negara ini?

Sama rata peluang ataupun sama rata hasil?

Perkara yang menyebabkan saya menulis artikel ini ialah ucapan permulaan Bill dan Melinda Gates di Stanford.

Malaysia adalah sebuah negara yang mempunyai berbilang kaum. Tiga kaum yang sering disebut di dalam negara ini ialah Melayu, Cina dan India. Tetapi Malaysia mempunyai lebih daripada ketiga-tiga kaum itu. Malaysia merangkumi pelbagai etnik kaum dan mempunyai taraf perbezaan kesediaan untuk mencapai peluang-peluang yang ada di Malaysia.

Inilah dilema sama yang dihadapi oleh Amerika Syarikat. Amerika Syarikat dengan slogannya, “Pasaran Bebas” sebenarnya telah memburukkan lagi keadaan ketidaksamarataan.

Lebih Kaya Menjadi Lebih Kaya

Kekayaan biasanya datang dengan reputasi. Reputasi datang dengan kuasa. Apabila seseorang itu mempunyai kekayaan, mereka mampu untuk memberi tekanan kepada sesuatu. Inilah yang sedang berlaku di Pasaran Bebas bernama Amerika Syarikat. Yang Kaya berhasrat untuk mengekalkan kekayaannya dan menggunakan pengaruh mereka untuk memastikan sistem yang ada berkhidmat untuk kepentingan mereka.

Mereka yang lebih berada ini juga lebih bersedia untuk mengaut peluang-peluang yang ada di dalam pasaran. Mereka mempunyai dana, mempunyai rangkaian kenalan (di Malaysia, orang suka mengatakannya sebagai “kabel”) dan mereka tersedia untuk menyambut segala peluang yang ditawarkan.

Sama juga di Malaysia.

Di Malaysia, orang yang kaya biasanya mempunyai perkaitan dengan orang di dalam kerajaan ataupun mempunyai kenalan yang berkuasa di dalam sesuatu industri menyebabkan mereka mengawal sesuatu industri pilihan mereka. Ini membolehkan golongan kaya ini dapat memberikan insentif kepada pilihan mereka.

Dan di dalam negara ini, yang menjadi pilihan ialah kaum mereka sendiri. Apabila kaum yang sudah ke hadapan membantu kaum mereka sendiri, ini akan menyebabkan jurang yang sudah berbeza ini semakin jauh dipisahkan.

Jika kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk membantu kumpulan-kumpulan yang ketinggalan, keadaan ini dipanggil sebagai Pasaran Bebas. Setiap orang bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Dalam satu perspektif, ini ialah perkara yang sangat positif. Ini bermakna orang mempunyai pilihan dalam melakukan sesuatu. Satu lagi perspektif ialah seperti teori Charles Darwin, pemilihan natural. Yang paling kuat yang akan terus hidup dan yang lemah akan mati.

Itu sebenarnya satu perkara yang baik kerana ini akan mempromosikan kualiti dan kemajuan secara teorinya akan lebih cepat berlaku. Namun, apabila sebahagian kecil kumpulan sahaja yang mendapat kepingan terbesar ekonomi, ini akan menyebabkan kumpulan-kumpulan lain untuk berasa iri hati dan berasa tidak adil dan pada satu ketika jika terlalu teruk rasa ketidakadilan itu akan menyebabkan orang menunjukkan perasaan tidak puas hati di atas jalan atau di dalam media-media sosial.

Menangani Ketidaksamarataan

Kerajaan dalam keadaan ini perlu memastikan peluang diberikan juga kepada kumpulan-kumpulan yang masih tidak bersedia untuk memasuki pasaran yang secara keseluruhannya bebas. Semua kerajaan di dalam dunia ini bersifat campuran kerana terdapat campur tangan kerajaan yang memastikan ekonomi di dalam negara masing-masing dapat berkembang.

Selain daripada memberi peluang kepada kumpulan-kumpulan ini, kerajaan perlu menyediakan semua kumpulan untuk terus bergerak ke hadapan. Biasanya daripada segi keusahawan dan inovasi. Mereka perlu “disedarkan” daripada tidur untuk membolehkan mereka bersaing.

Kumpulan-kumpulan ini perlu sedar bahawa dalam dunia ini tiada perkara percuma dan segala yang percuma tidak akan berkekalan. Bak kata Benjamin Franklin, ada dua benda sahaja yang pasti: kematian dan cukai. Kalau dilihat dari segi yang lebih menyeluruh, setiap benda di dalam dunia ini mempunyai kosnya. Kos daripada segi masa dan juga duit.

Tonggak dalam sesebuah negara ialah ekonomi. Ekonomi yang diberikan dengan lebih baik kepada semua kumpulan akan memastikan negara itu lebih aman. Program-program yang ada perlu diwar-warkan untuk memastikan semua golongan sasar tahu mengenainya. Kebanyakan dakwaan di dalam media sosial ialah tidak ada program dijalankan.

Timbul di sini isu persepsi: ramai orang tidak mengetahui program-program yang ada dan mereka tidak tahu bagaimana untuk memohon program-program yang direka untuk membantu peniaga dan usahawan. Kerajaan perlu mencari cara untuk memberitahu semua program yang dijalankan.

Ketidaksamarataan ialah satu harga yang mahal. Apabila sesuatu keadaan tidak terkawal akan menyebabkan jurang antara kaum semakin ketara dan menyebabkan sesuatu perkara yang tidak diingi berlaku. Komunikasi sangat penting supaya setiap pelaksaan program diketahui dan hasrat kerajaan untuk mencapai Wawasan 2020 dapat diteruskan.

Sumber:

Stiglitz, J. E. (2012). The price of inequality: how today’s divided society endangers our future. New York: W.W. Norton & Co..

1 Comment
  1. ezuddin says

    Terdapat juga persepsi tentang redtape dan birokrasi dalam meluluskan permohonan sesuatu program atau bantuan. Ianya perlu dikurangkan agar golongan sasaran ini tidak dipinggirkan.

Leave A Reply

Your email address will not be published.