Empat Halangan Yang Menjejaskan Niat Ibadat

KEIKHLASAN hati dan jiwa dalam melakukan ibadat kepada Allah Taala adalah kemuncak kepada kemurnian nurani seseorang untuk menghambakan diri semata-mata kerana Allah.

Lantaran itu, dalam banyak hal Islam sering mengingatkan umatnya supaya menyemai rasa ikhlas dan jujur dalam setiap perkara dilakukan sama ada wajib, sunat dan harus menurut ketetapan syariat.

Keutamaan sifat ikhlas diingatkan Allah kerana dengan sifat itu dapat menghalang serta mencegah seseorang mukmim daripada perkara yang menghalang dirinya untuk beristiqamah dalam melakukan ibadat kepada Allah.

Ulama besar Al-Imam Ghazali berkata, terdapat empat perkara besar yang selalu menjadi penghalang kepada seseorang mukmin untuk melakukan ibadat kepada Allah iaitu dunia, makhluk, nafsu dan syaitan.

Pertama, jika diteliti maksud dunia seperti diperkatakan ilmu Tasawuf, ia merangkumi semua perkara yang tidak memberi manfaat apabila seseorang itu kembali semula ke hadrat Ilahi seperti wang ringgit serta kemewahan yang membawa manusia kepada kelalaian kehidupan duniawi.

Bagaimanapun, skop pengertian itu boleh berubah apabila seseorang menganggap segala keperluan duniawi tidak lebih sebagai alat dan perantara untuk mengurus dan membelanjakannya ke jalan diredai Allah.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: “Kamu lebih mengetahui urusan dunia kamu.”

Setiap amalan bermula dengan niat. Jika niat dimulakan kerana Allah Taala, ia akan menjadi ibadat, tetapi menjadi adat jika sebaliknya. Cara mengatasi perkara ini ialah dengan mengambil kenikmatan dunia sekadar keperluan dan hajat tanpa mendewakan atau menjadi hamba kepada harta benda dan wang ringgit yang dimiliki.

Keduanya ialah gangguan dan halangan daripada makhluk Allah termasuk anak, binatang ternakan dan harta benda yang boleh melalaikan manusia daripada menunaikan ibadat.

Allah Taala berfirman bermaksud: “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak pinak kamu itu adalah ujian kepada kamu.” (Surah al-Anfal, ayat 28)

Dalam kes harta benda, berapa ramai umat Islam yang gagal menghadang diri daripada sikap boros. Ringgit mengalir ke pusat hiburan dan maksiat. Membeli keperluan dengan melampau hingga lupa keperluan berzakat, bersedekah dan mengerjakan ibadat haji.

Begitu juga yang sanggup meninggalkan solat untuk bersosial, ibu bapa melewatkan ibadat kerana melayan kerenah anak, selain yang tinggal di rumah di puncak bukit bagi mengelak gangguan kononnya.

Penghalang ketiga ialah keinginan atau nafsu yang sentiasa merajai diri. Ramai daripada kita tunduk dan tewas kepada kehendak nafsu sendiri dengan menyingkirkan niat dan azam untuk melakukan kebaikan dalam hidup. Kejahatan dan kemungkaran yang timbul daripada nafsu inilah yang sukar untuk dikekang jika kita tidak beristiqamah untuk melawannya.

Keempat, desakan dan bisikan iblis yang niatnya menggoda dan menipu daya manusia ke jalan sesat hingga hari kiamat.

Jika manusia sudah berada dalam kejahilan berterusan, maka tugas iblis dan syaitan adalah untuk terus melalaikan manusia supaya terus menjadi sahabat baik.

Rasulullah SAW dalam doanya sering mengajar manusia dalam maksud: “Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan aku berlindung dengan Allah daripada kehadiran syaitan itu kepadaku.”

Pernah satu ketika, Aisyah dalam keadaan marah-marah. Melihatkan hal itu lalu Rasulullah SAW menegur isterinya dengan berkata: “Wahai Aisyah, kamu ini masih dikuasai syaitan,” Aisyah terperanjat lalu bertanya apakah setiap manusia dibekalkan syaitan? Lalu Rasulullah SAW menjawab: “Ya, saya sendiri mempunyai satu syaitan, tetapi syaitan saya sudah masuk Islam!”

Setiap manusia sebenarnya terdapat syaitan tertentu yang akan berusaha menggodanya. Terpulang kepada kita menanganinya supaya tidak terjebak dengan tipu helah syaitan.

Adagolongan insan yang sukar diperdaya iblis dan syaitan. Mereka meletakkan sifat ikhlas dan jujur di puncak ibadat kepada Allah seperti firman Allah bermaksud: “Dan tiadalah mereka diperintah melainkan agar menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dengan berterusan.” (Surah al-Bayyinah, ayat 5)

Pertelingkahan yang berlaku pada hari kiamat nanti lebih hebat kerana manusia akan segera menyalahkan syaitan yang menggoda serta menipu sehingga mereka dimasukkan ke neraka.

Tetapi menurut syaitan, tiada siapa menyuruh manusia mengikutnya, kerana kelemahan manusia itu sendirilah yang memaksa diri mereka dihumban ke dalam api neraka.

Allah berfirman bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh bagi kamu semua, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi. Sebenarnya dia hanyalah mengajak manusia supaya menjadi penghuni neraka.” (Surah al-Fatir, ayat 6)

Apabila kita dengan kekuatan, iltizam serta istiqamah berjaya menyingkirkan keempat-empat halangan melakukan ibadat, kita tidak mudah kecewa berhadapan dengan dugaan meneruskan kehidupan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *