Dua Temuduga, Dua Tawaran: Bagaimana Untuk Cari Kerja

Apa sebab anda cari kerja baru? Dah bosan? Tak suka pengurusan syarikat? Ataupun kena pecat?

Biasanya semua orang ada sebab-sebab tertentu kan kenapa dia cari kerja?

Sama lah. Saya pun sama. Saya ada sebab kenapa saya nak berhenti daripada kerja saya sebelum ni.

Anda pun mesti ada sebab anda sendiri kan kenapa anda nak berhenti?

Apa-apa pun sebab yang menyebabkan anda nak cari kerja, kena ada strategi dan teknik yang betul.

Kalau tak apa yang anda buat tu sia-sia je.

Di dalam blog post ini, saya ingin kongsikan dengan anda bagaimana cara saya cari kerja dan bila dapat dua temuduga, dua-dua kerja pun saya dapat.

Bagaimana saya pergi temuduga dan mendapat tawaran, di tempat yang berbeza. Industri pun berbeza.

Satu di dalam media, satu di dalam perbankan.

Tempat #1: Syarikat Media

Syarikat media ini antara syarikat media paling besar di Malaysia. Kalau ada dalam resume sebagai seorang developer di sini memang cantik lah resume.

Macam biasa, soalan yang ditanya ialah ceritakan tentang diri sendiri. Kemudiannya mulalah masuk bab-bab teknikal, dia mula buka cerita apa yang syarikat sedang lakukan sekarang, apa yang sedang berlaku dan apa yang mereka sedang cuba buat di syarikat tersebut.

Kemudiannya mereka memberi satu tugasan untuk di bawa balik ke rumah. Siapkan dalam masa sehari.

Saya kena gunakan teknologi-teknologi yang mereka ada dan buat rangka dan kemudiannya tunjukkan kepada mereka.

Lepas tu, bolehlah mereka judge kebolehan saya dalam membuat kerja tu.

Saya kena buat untuk Web, Android dan juga iOS.

Jadi agak banyak jugak tu. Saya berjaya buat untuk Web dan Android dan juga iOS tetapi iOS tu macam bermasalah untuk mereka cuba, jadi saya rekodkan skrin iPhone untuk mereka nampak app tu. (Jadi mereka tak yah install.)

Mula-mula seminggu saya tunggu. Lepas tu dua, lepas tu saya macam, ah, takkan dapatlah tu.

Tiba-tiba ada panggilan, sebab nombor tak kenal jadi saya pun angkat lah.

Dan rupa-rupanya saya dapat kerja tu…

28% naik daripada gaji asal. Bagus juga tu. Tapi hati macam 50/50 jadi… saya tak pergi.

Orang yang menelefon tu dua-tiga kali juga tanya. Betul ke tak nak? Sekarang ni dah lah ramai orang tak dapat kerja… saya pula tolak kerja. Serius ke ni?

Tapi saya tolak akhirnya.

Di bawah ni saya cerita kisah di bank pula…

Tempat #2: Bank

Di bank pula buat saya gugup. Nama dia cukup gah sekali. Walaupun kerja kontrak, ianya kontrak selama tiga tahun.

Nama kerjanya merangkumi dua: develop dan analysis.

Nak masuk bangunannya punyalah susah. Asyik perlu tunggu orang sahaja. Setiap tingkat perlukan pengesahan. Cantik juga tempatnya.

Sebelum saya pergi temuduga, saya perlu menjawab esei. Satu bahasa Malaysia satu lagi bahasa Inggeris. Ada topik-topik yang diberi. Ada jumlah perkataan yang perlu dipatuhi.

Bila saya berjaya menjawab pada bahagian itu, barulah saya dipanggil ke tempat yang cantik itu.

Ini pun saya dapat lebih kurang 25-30% lebih daripada gaji asal. Dan beberapa bulan kemudian, mereka telefon semula dan ingin menawarkan gaji lagi tinggi berbanding dengan tempat yang (akhirnya) saya pergi sekarang ini.

Saya cakap semua ni sebab saya nak beritahu: kalau tahu caranya, boleh dapat kerja. Kita semua kena ada abundance mindset. Jadi bawah ini saya akan ceritakan bagaimana saya dapatkan kerja-kerja ini.

Untuk Orang Mencari Anda, Anda Perlu Mempunyai Kebolehcarian Yang Tinggi.

Kenapa?

Anda akan menjadi magnet pekerjaan. Bukannya menunggu pekerjaan je.

Ini juga membolehkan anda menonjolkan kredibiliti diri yang tinggi.

Kredibiliti diri tu penting. Half the battle is won before the battle begins.

Perasan tak yang saya tidak cakap saya cari kerja. Saya cakap orang cari saya?

Ya, itu cara yang lebih baik.

Untuk itu berlaku, perlu ada tiga perkara. (Tapi kena baca sampai habis baru faham macam mana nak cari kerja melalui semua itu).

Resume, LinkedIn, dan Blog Anda Sendiri.

Di dalam LinkedIn sebagai contoh, pastikan anda menggunakan tetapan “Open for Opportunities“. Ini ialah tetapan yang memberitahu recruiter bahawa anda terbuka untuk sebarang peluang pekerjaan baharu.

Tak banyak, tapi ada juga orang hubungi mengenai kerja.

Macam yang anda tengok di atas ini, tak banyak pun tapi bolehlah dapat panggilan untuk pergi temuduga.

Cuba fikir, apa recruiter akan nampak bila google nama anda?

Apa yang mereka akan nampak?

Adakah gambar anda sedang sengih?

Tempat percutian ataupun media sosial anda?

Adakah semua itu mencerminkan diri anda secara positif kepada orang yang membaca resume anda?

Media sosial anda pula bagaimana? Penuh dengan kisah-kisah politik parti yang anda sokong?

Ataupun anda stabil dan macam-macam anda borak dan tidak hanya berpolitik?

Semua ini untuk menyediakan anda untuk memberi pandangan pertama yang positif kepada orang yang baca dan google atau cari tentang diri anda.

Apa tip lain yang boleh anda gunakan?

Kenal-kenal dengan orang dalam industri dan dari syarikat-syarikat lain

Saya seorang introvert.

Nak berkenalan atau bersosial itu susah untuk saya. Macam kena pakai tenaga lebih semata-mata nak berborak lama-lama dengan orang yang baru kenal.

Jadi, saya pun guna Telegram untuk mencari grup-grup industri yang boleh saya masuk…

Grab pun ada grup mereka sendiri.

Technician pun ada grup mereka sendiri.

Di FB pun ada grup bidang masing-masing. Suri rumah pun ada kumpulannya tersendiri di FB. Saya rasa untuk semua kerjaya, mesti ada yang buat kumpulan. Biasalah tu.

Masuk dalam kumpulan-kumpulan tu. Boleh kenal-kenal walaupun secara pasif. Boleh tahu siapa yang power di dalam industri tu.

Dah dapat temuduga tu? Bagus! Sekarang kena bersedia untuk temuduga pula.

Bayangkan semua soalan yang akan ditanya semasa temuduga.

Apa yang anda rasa akan ditanya oleh penemuduga tu?

  • Tentang syarikat tu?
  • Tentang job skop anda? (Dia sengaja tanya nak tahu anda baca betul-betul ke tak untuk kerja yang anda pilih itu)

Adakah ada ujian-ujian yang perlu anda lalui sebelum melalui temuduga itu?

Apa tip yang boleh anda gunakan supaya temuduga tu lebih berjaya?

Cuba kaitkan situasi dalam kerja dengan soalan yang ditanya oleh penemuduga tu.

– Rasai perasaan gementar itu dan gunakannya untuk kelebihan anda
– Jika ada soalan yang tak tahu nak jawab apa, tanya kembali kepada penemuduga tersebut apa yang dimaksudkan
– Apa harapan anda? Tonjolkan minat anda. Kaitkan hidup anda dengan kerja. Barulah penemuduga tu macam berminat dengan anda.
– Anda kena tanya tentang syarikat tu. Tanya dan tanya. Tunjukkan yang anda berminat dengan syarikat tu. Kalau one way daripada penemuduga sahaja memang tak bagus.

1) HR / Recruiter Baca Resume > 2) Dipanggil Temuduga > 3) Pergi Temuduga > 4) Dapat Kerja

Atas ni langkah demi langkah untuk dapatkan kerja.

Kalau dah lepas langkah-langkah di atas, apa yang perlu ialah negotiate gaji anda. Kadang-kadang dapat kurang daripada apa yang anda nak, cuba tengok boleh tak dia bagi lebih. Anda kena tekankan (tapi jangan kasar ya) sebab-sebab yang boleh menang-menang untuk kedua belah pihak kenapa anda patut dapat gaji yang anda minta dan bukannya lebih rendah daripada tu.

Langkah macam mudah, tapi sukar juga kalau tak biasa.

Nak Lagi Terperinci Tak?

Share blog post ni! Kalau ada lebih daripada 100 orang “share”, saya akan tunjukkan kepada semua resume cap ayam saya yang agak berkesan dan langkah demi langkah yang saya buat untuk dapatkan temuduga kerja yang berkualiti (dan macam mana nak mengelak kerja yang kurang berkualiti).

Diterbitkan oleh

Abdul Rahman

Seorang penulis, pembaca, programmer dan macam-macam lagi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *