Secawan Koko Kehidupan

Mana Orang Islam Letak Adab?

0

Islam mengajar kita untuk menghormati orang lain walaupun orang itu bukan beragama Islam. Kita diajar untuk memikirkan orang lain dan cuba sedaya upaya untuk memahami keadaan yang dilalui orang.

Malangnya episod baharu ini seperti tidak diendahkan oleh orang Islam malah ada yang mempolitikkan isu ini.

Kita sebagai orang Islam perlu menghormati orang. Cuba ingat bagaimana Nabi Muhammad dahulu dicerca, dimaki-hamun, tetapi secara lembut-lembut, perlahan-perlahan menarik orang masuk Islam. Itu ialah resepinya. Resepi untuk orang faham mengenai agama ini. Agama ini mengajar kita untuk beradab dan bukannya membuang di luar tingkap.

Mungkin dia mempunyai pendapat yang tidak serupa dengan kita. Mungkin dia cakap benda yang mengguris hati kita tapi bukankah dia juga seorang manusia? Sama seperti kami dan anda juga? Keluarga dia juga mempunyai perasaan dan apabila orang daripada agama lain melihat kita yang berperangai tidak bertamadun pastinya orang daripada agama lain seperti takut dengan Islam kerana adab kita melambangkan agama kita.

Membaca komen-komen di media-media sosial amat mengecewakan.

Hairan mengapa orang yang mengaku dirinya seorang Muslim dan beragama Islam menulis komen-komen yang menusuk dan tidak sensitif langsung.

Kita hina-hina dia tetapi betapa lama kita boleh hidup? Dosa kita semua dah terhapus? Adakah kita 100% masuk syurga? Kenapa ramai sangat orang yang komen seperti orang yang mati itu seperti dia bukan manusia?

Kita tidak perlu mengangkatnya tetapi kenapakah ramai yang beragama Islam seperti kurang rasa kemanusiaan itu?

Di manakah sikap kita yang sepatutnya menghormati orang itu?

Adakah mati ditelan media-media sosial yang penuh dengan kenyataan sarkastik, menghina dan tidak membina? Akibat terlalu banyak masa berada di dalam media-media itu, habis semua adab telah hilang daripada hati dan di dalam hati hanyalah kata-kata yang sarkastik ataupun tidak membina hasil daripada pembacaan berpanjangan di dunia tanpa sempadan ini.

Hidup kita hanya sementera. Apa yang kita buat akan diingati. Apabila kita tidak sensitif dengan orang, orang juga akan tidak sensitif dengan kita. Apa yang kita buat pada orang, orang akan ingat sampai bila-bila. Bayangkan bila anda sendiri mati. Mungkin akan ada orang cakap, “padan muka” pada anda. Kenapa? Kerana adab yang tak berapa itu.

Kita pembaca imej agama kita. Apabila kita membawa imej tidak baik, orang akan merasakan bahawa Islam itu tidak baik. Jika kita menggelarkan diri kita seorang yang beragama Islam, kita perlu sedar setiap komen, setiap perbuatan, dan segala apa yang kita lakukan, semuanya, akan mencerminkan diri kita sebagai orang Islam.

Leave A Reply

Your email address will not be published.