Secawan Koko Kehidupan

Apakah Kesan-kesan Subsidi?

0

Apa yang saya ingin katakan ini bukan sesuatu yang popular dan mungkin dikritik tapi seseorang perlu berkata mengenai perkara ini.

Subsidi – Dalam jangka panjang… adalah merbahaya. Bukan pada kerajaan sahaja, tetapi juga pada diri anda sendiri.

calvin-and-hobbes-subsidi

Ini maksud saya:

Lebih banyak saya membaca, lagi banyak saya menonton dokumentari, saya semakin percaya saya bahawa mentaliti subsidi dan percuma adalah sesuatu yang merbahaya untuk ekonomi dan untuk diri anda.

Sikap inginkan sesuatu secara percuma atau secara subsidi akan menyebabkan semangat anda menjadi semakin layu dan motivasi anda semakin rendah.

Cuba Fikir Apa Negara Yang Penuh Subsidi dan Fikirkan Apa Inovasi Yang Telah Tercipta Di Negara Itu?

Cuba kita tengok negara-negara tertentu yang mempunyai subsidi-subsidi minyak tertinggi dunia.

Venezuela? Negara Amerika Latin yang miskin. Bloomberg menggambarkan negara ini sebagai negara yang “minum minyak macam negara kaya”.

Brazil? Kadar penganggurannya ialah 6.2% iaitu lebih daripada 2 kali ganda kadar pengangguran berbanding Malaysia (2.9%) dengan penduduk jauh lebih ramai (200 juta) daripada Malaysia (30 juta).

Untuk memberi perspektif, mereka mempunyai 12,400,000 penganggur berbanding Malaysia dengan 870,000 penganggur.

Arab Saudi? Rakyatnya takut untuk terlalu menonjol.

Qatar? Mereka mempunyai bangunan yang tinggi dan mempunyai hasil minyak yang banyak, tetapi pekerja mahirnya bergantung banyak kepada orang luar.

Brunei? Sama seperti Qatar.

Bila anda disuapkan dengan subsidi, anda akan dimanjakan dan menyebabkan anda tidak sekompetitif yang sepatutnya.

Anda tidak lagi bermotivasi untuk mengejar impian.

Anda tidak lagi bersemangat untuk berkerja.

Itulah paradoksnya: subsidi sepatutnya membantu meringankan beban hidup rakyat tetapi apabila rakyat sentiasa mendapat apa yang dimahukan, rakyat menjadi lemah dan tidak mempunyai daya saing yang tinggi.

Apabila rakyat tidak bermotivasi, negara semakin lama akan menjadi semakin mundur kerana semangat untuk menjadi produktif tidak ada.

Bila Sepatutnya Subsidi Ada?

Subsidi sepatutnya ada apabila kerajaan mahu mengawal inflasi.

Inflasi yang terlalu banyak akan menyebabkan hiperinflasi.

Terdapat beberapa negara yang mengalami hiperinflasi seperti Angola (1991-1995), Argentina (Mei 1989-Mac 1990), dan juga Jerman (Republik Weimar) dari Januari 1922 hingga Disember 1923.

Apabila kerajaan tahu rakyatnya tidak mampu, kerajaan akan mengenakan subsidi supaya dapat meringankan beban kerajaan. Di dalam ekonomi, keadaan ini sepatutnya bukan sesuatu yang bersifat kekal kerana pada satu tahap, subsidi ini akan menyebabkan ketidakcekapan di dalam pasaran.

Ketidakcekapan ini akan mengurangkan kebolehsaingan dan bila itu berlaku, syarikat itu tidak dapat bersaing dengan baik di pentas dunia.

Malangnya, di Malaysia, subsidi merupakan sebahagian daripada hidup rakyatnya. Bukan sahaja minyak tetapi banyak lagi bahan mentah seharian seperti beras. Setakat ini Malaysia memberi subsidi lebih kurang 54% KDNK negara.

Nilainya akan meningkat, dan ahli ekonomi sedang bersuara lantang untuk memastikan perbelanjaan subsidi dikurangkan.

Manakala rakyat pula mahukan subsidi diteruskan supaya harga tidak naik terlalu banyak.

Tersepit di antara dua dunia.

Perumpamaan Mudah

Mereka yang kakinya patah perlu menggunakan topang, tapi apabila sihat, perlu disuruh jalan tanpa topang supaya kakinya menjadi kuat kembali.

Melihat kepada negara-negara yang mempunyai kekayaan sumber bumi melimpah ruah, rakyatnya tidak bermotivasi untuk melakukan sesuatu yang dapat membawa negara tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Mereka mengharapkan tangan untuk membantu walaupun mereka mempunyai anggota badan yang cukup untuk berkerja dan tidak mempunyai kekangan luar biasa untuk diatasi.

Orang yang nak sihat akan bersenam.

Lebih banyak senam, lebih cergas orang tu.

Orang yang ada impian juga begitu. Dia sentiasa kejar impian dia. Tak semestinya dia dapat, tapi dia “bersenam usaha”. Lama kelamaan, dia akan semakin bermotivasi dan tidak senang duduk dengan tidak melakukan apa-apa.

Jangan hanya berharap. Jangan lemah. Cuba gerak. Lambat-lambat pun tidak mengapa. Asalkan bergerak dan cuba mencapai satu impian.

Negara yang kuat ialah negara yang rakyatnya mempunyai impian-impian tersendiri dan mereka cuba mengejar impian mereka.

Jangan lupakan mereka yang termiskin. Itu yang perlu dibantu. Itu yang perlukan topang. Tapi berikan topang sehingga mereka boleh berdiri sendiri.

Tapi jangan lebih-lebih kerana tidak mahu otot-otot mereka melemah kerana terlalu bergantung kepada topang tersebut.

Bila yang termiskin juga tidak perlu topang, mereka boleh berjalan dan semakin lama semakin laju mengejar impian mereka.

Lari Dari Mentaliti Subsidi

Entitlement is a disease. The disease will spread through your mind, causing bitterness, resentment, and failure. – James Altucher

Langkah paling masuk akal yang boleh dibuat oleh anda ialah nilai diri anda.

Kenapa anda buat apa yang anda buat?

Adakah anda hanya duduk dan berharap sesuatu… ataupun anda mengejar dan mengimpikan sesuatu?

Ini bukan satu nukilan bersifat motivasi, tetapi saya ingin mengajak anda untuk berfikir.

Daripada bersikap mengharapkan subsidi dan percuma, kepada sikap mencari dan menggapai impian.

Mungkin untuk diri anda mengejar impian bermakna meningkatkan keupayaan diri dan mendapatkan kenaikan pangkat yang anda impikan itu.

Mungkin untuk diri anda itu bermakna membuat kerja tidak lagi sambil lewa dan cuba membantu semampu boleh di dalam pekerjaan anda.

Ikutlah bagaimana anda nak kejar impian anda.

Buat teknologi baharu. Buat sumber pendapatan baharu. Buat sesuatu yang baharu yang bermanfaat. Yang orang mahu beli.

Saya tutup nukilan mudah ini dengan satu pepatah Latin… Carpe Diem… Seize the Day.

SUMBER RUJUKAN:

House, K. E. (2012). On Saudi Arabia: its people, past, religion, fault lines–and future. New York: Alfred A. Knopf.

Riley, G. (2012, September 23). Producer subsidies. Tutor2u. Retrieved September 3, 2014, from http://tutor2u.net/economics/revision-notes/as-marketfailure-producer-subsidies.html

Watkins, T. (n.d.). Impact of an Excise Tax or Subsidy on Price. San José State University Department of Economics. Retrieved September 3, 2014, from http://www.sjsu.edu/faculty/watkins/taximpact.htm

Leave A Reply

Your email address will not be published.